13 October 2011

KASIH IBU - Buat renungan insan bergelar anak

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.



Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.


Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.


"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.


Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.


"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"


Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.


Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.


Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"


Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.


Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.


Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.


Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.


Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?


Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.


Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.


26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.




7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.


13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"


Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"


Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?


Mak jawab, "Balai bomba!"


Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.


Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.


Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"


Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.


"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.


Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.


Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!


27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.


"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.


5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.


"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.


7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.


8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.


Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."


Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.


9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.


Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.


Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.


"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"


Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.


"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.


"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.


Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.


Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"


Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.


"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.


"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.


"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."


Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...


Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.


Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"


Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.


Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).


Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen

19 September 2011

Diari sorang kakak...

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis keti ka itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami berdua.Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati.Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
“Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”
“Tapi apalah maknanya bang�!” aku terdengar ibu teresak-esak.
“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg�.sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
“Kenapa kamu ni? Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”
“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
“Kakak perempuan�biarlah kakak yang berhenti.”
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat�..
“Kak�untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:
“Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”
“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
“Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”
Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk
kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”
“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
”Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya..
“Tak�.Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”
Apalagi�aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.
“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”
“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.
“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”
Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya�.”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”
”Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

15 March 2011

Biarkan rasa berbicara

Kadangakala harus di izinkan 'rasa' yang berbicara. Kerana bicaranya bisa menenangkan.

Lokasi : 'Syurga'ku
Tarikh : March 2011
Masa : 12.00 am  

15 February 2011

Mengenali asal nama ku...

Ini antara nukilan terawalku dalam pembatitan 'Sajak', tentang nama pena ku ... Ramai tertanya-tanya dan bertanya-tanya kenapa aku menggunakan nama pena Supmam Kanuka? Macam nama Jepun? Dulu aku biarkan mereka terus berteka teki dan pada yang kreatif, dengan bangganya mereka memberitahuku maksud namaku. 

Sebenarnya, Supmam Kanuka bukanlah diambil dari bahasa jepun atau sebagainya. Ia bahasa Melayu. Tak percaya? Baca sehingga habis... hehehe...

Supmam Kanuka, terhasil daripada sebuah cerita duka. Bagiku sajak yang bagus harus lahir dari jiwa terluka bukan akal pemikiran semata-mata (bagus ke sajak ni? Hahaha). Ia adalah hasil dari zaman 'kejatuhan' aku yang berlaku pada tahun 2000. Sedih... sedih... sedih.... Apa yang telah berlaku? Jawapannya di dalam semua sajak-sajakku.

Straight to the point, Supmam Kanuka... terbalikkan sahaja ejaannya... Kamu akan memperolehi jawapan dan maksud namaku.

07 February 2011

Kita adalah Istimewa!!!

Setiap daripada kita dilahirkan daripada rahim seorang ibu. Biar sehebat mana kita membenci diri sendiri, jangan pernah lupa bahawa suatu ketika dahulu kelahiran kita pernah disambut penuh tawa, girang gembira oleh ibu dan ayah. Biarpun satu dunia membenci, ingatlah bahawa kita tetap istimewa. Oleh sebab itulah Allah masih membenarkan kita hidup bernyawa. Jika ada satu perkara yang harus disedari supaya kita tidak merasa lemah, itulah dia,  “We are special!“. (At-Tiin:4)

Kita punya akal. Jika tidak, mustahil kita dapat membaca artikel ini. Akal adalah anugerah Allah yang tidak terhingga. Ia membezakan antara manusia dan haiwan, juga tumbuh-tumbuhan. Manusia yang sering menghina diri sendiri dan bersikap lemah di hadapan orang lain sebenarnya sedang bersikap kufur dengan nikmat Allah. Dia tidak tahu menghargai nikmat akal yang dianugerahkan kepadanya. Seolah-olah penghormatan Allah itu tidak mahu diterima dan dianggap tidak bernilai.

“Aku bodoh, mereka pandai…aku lemah tak punya apa-apa, mereka hebat”

Orang yang tidak tahu menghargai diri sendiri adalah orang yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada Allah. Maka, menyedari bahawa 'we are special' adalah jalan menuju syukur.



Firman Allah:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin:4)

Keangkuhan kita, keengganan kita untuk menghargai ciptaan Allah iaitu diri sendiri boleh mengundang murka Allah dan menjatuhkan martabat kita di sisi-Nya.


Firman Allah:
Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah (At-Tiin:5)

Apabila kita telah menyedari bahawa kita adalah istimewa, kita akan lebih bersyukur. Kesyukuran itu membawa kita menggunakan segala keistimewaan untuk berbakti dan taat kepada Allah. Kesedaran itu akan mengubah persepsi kita dalam kehidupan dan menjadikan kita lebih bertenaga untuk melangkah. Kita tidak lagi merasa sedih dan lemah di sisi manusia. Bahkan, itulah yang dikehendaki Allah.


Firman-Nya:
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Ali Imran:139)

 Kesimpulannya, ada 1001 sebab yang boleh kita rungkaikan untuk membuktikan bahawa “we are special!“.

28 January 2011

Sebuah cerita tentang BULAN~

"Didedikasikan buat seseorang yang ingin mendengar sebuah cerita tentang bulan..."

Bulan... lama juga aku termangu memikirkan tentang bulan. Apa yang harus aku coretkan tentang bulan? Dan kenapa mesti Bulan? Ia berbentuk bulat dan berwarna Jingga, selalu dikaitkan dengan cinta...hmmm!! Kenapa manusia suka sangat dengan bulan? (Idea..idea...idea...datanglah dikau).. Bismillahir Rahmanir Rahim... 

Lalu ku nukilkan sebuah "CERITA TENTANG BULAN"...

Malam tadi sambil menghirup udara malam yang segar aku sempat memerhatikan bulan, memang kalau ditenung lama-lama bulan tu akan terasa indahnya, kecantikan dan keunikan objek tersebut. Pastinya akan timbul persoalan tentang apa sebenarnya yang ada di bulan tu. 

Keasyikan terhadap bulan itu jugalah membuatkan manusia begitu kreatif untuk menghasilkan bermacam-macam istilah, sajak, puisi, pantun, lagu dan sebagainya dengan menggunakan perkataan bulan. Nak cerita pasal bulan ni satu hari rasanya tidak habis, peribasa melayu sahaja ada bermacam-macam yang mengaitkan dengan bulan. Salah satu contoh pantun melayu lama yang menggunakan perkataan bulan ialah: "Anak yu senangin bulan, Bawah bulan pagar jerami, Kalau rindu pandang bulan, Dalam bulan ada kami"

Itu baru sedikit contoh, aku rasa banyak lagi penggunaan bahasa berkaitan dengan bulan ni dalam zaman moden sekarang, contohnya Datang Bulan bagi kaum perempuan, bulan madu bagi pasangan baru kahwin, tengah bulan (bagi kes duit gaji nak habis!), kuih bulan, bulan gelap dan macam-macam lagilah.

Arghh jam di dinding menunjukkan tepat pada pukul 4:54am. Rasanya aku dah semakin merapu dan sebelum aku teruskan merapu meraban ni... baiklah aku tidur je... lagipon time ngantuk mcmni mmg idea bernas jarang nak mai... hehehe...



Malam ini bulan begitu dekat dengan bumi
Meski tak mampu kulihat penuh perupaannya
Tapi segurat tanda dalam cahaya pucat pasi
Memberi erti melirik makna mengungkap tanya 

Malam ini saat pasang di pantai-pantai hati
Mengabarkan kabar sayup-sayup kegembiraan
Meski dingin sepoi malam memecah ombak
Tak terasa dalam keterasingan janggal aku berdoa 

Malam ini saat mata-mata mulai terpejam
Melukis mimpi merajut angan menguak tabir sisi
Mengusir penat seperti mereka yang telah terlelap
seakan enggan kulakukan atas kegusaran anonim

Malam ini saat aku kembali pulang dalam sesal
Ternyata demikian sulit untuk mendedah satu rasa
Menyedari implikasi yang terpendam dalam raga
Mencuba bangkit buat sekadar menyapa…

Saat aku takut menyedari
Adakah sebuah keadaan di sini
Saat hari-hari kemarin telah kulewati
Dan takkan pernah kembali lagi…

24 January 2011

DIARI MUJAHIDAH

I want to die with my forehead on the ground, The sunnah in my heart, Allah on my mind, Quran on my tongue, and tears in my eyes.
Tika titis airmata jatuh ke bumi, biarlah hanya Allah yang mengetahui, kerana hanya Dia penyembuh luka dan pemberi bahagia kepada hati & naluri.. sedikit yang bermanfaat lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Ujian Allah datang kerana kasihNya pada hambaNya, agar iman terus meningkat, hati semakin dekat, dan jiwa lebih akrab denganNya.

Sahabat, jika hari ini aku terlalu gembira sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah. Jika bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiah Pencipta. Jika ku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga. Jika antara kita ada tembok yang memisahkan, ajaklah aku meleraikan segera. Jika pernah hatimu terluka luahkanlah agar aku berubah. Dan jika esok ku lena tanpa terjaga, iringlah lenaku dengan kalungan doa. Berjanjilah sahabat, ukhuwwah kita untuk selamanya.

20 January 2011

Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu...

Wahai Diri…
Mencari-cari adakah cintamu pada-Nya?
Atau cintamu pada dunia melebihi segala?
Keperitan dalam kesenangan…
Apabila diri ini tidak mensyukuri nikmat kesenangan yang Kau limpahkan…
Astaghfirullah…
Ya Allah, Bimbinglah diri ini…
Yang kian hanyut sepi!!!

Terkadang diri berbisik,
"..tiada alasan dalam tarbiyyah..."
Ya Allah, moga dipermudahkan segala urusan..
Kerana ia bisa kembali menyepi…
Jika sendiri tidak berusaha mendidik diri…
menyemai Iman yang kembali berputik..
agar ia mekar…
menghadapi hari-hari esok. 


“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (13:28) 

19 January 2011

Cinta sebagai tajuk pilihan pertamaku...

"Aku mencintaimu kerana agamamu, jika lemah agamamu maka lemahlah cintaku, andai hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."


Kenapa aku pilih 'CINTA' sebagai tajuk pertama blog baru aku ni? 
Sajak di bawah sebagai jawapan... 

Masa bercinta
engkau suka aku pun suka
kemana pergi pun tak apa
yang penting jalan berdua
naik bas pun takpa
jalan tengah panas pun takpa
sampai melecet tumit jadinya
semua suka tiada duka

Masa engkau suka
aku pun suka
apa yang engkau suka aku pun suka
walaupun sebenarnya tak berapa suka
petai yg engkau suka,
aku pun telan juga
walaupun nak terjegil biji mata
kita sama-sama ketawa

Masa engkau suka
aku pun suka
Tempeh yg aku tak makan jadi kegemaran ku juga
walaupun aku tak boleh telan sebelumnya

Masa engkau suka
aku pun suka
pakai apa pun takpa
baju merah tudung biru pun takpa
tudung kau senget aku kata takpa
gigi kena lipstik aku tak kisah juga
engkau tetap cantik jelita

Masa engkau suka
aku pun suka
aku pakai apapun takpa,
lupa pakai tali pinggang pun takpa,
T shirt koyak kat ketiak pun takpa,
Lupa cukur misai pun takpa,
Kau kata aku tetap handsome seadanya.

Sampai sekarang ni aku pun tertanya-tanya
benarkah ini yang dikatakan cinta?...

Hello dunia 'ku'...

Selamat datang ke blog 'jiwa kacau' Tuah Edola (dot) com. Fuh, agak lama tidak berblog dengan acuan sendiri. Seronok ada, risau pun ada. Risau dengan jadual kerja yang tidak menentu akan mengakibatkan blog ini terabai dan berhabuk.

Jadi, sebagai salah seorang blogger sejati, aku terpaksa mencari satu wadah baru untuk melontarkan idea dan sekali-sekala perasaan yang terbuku di dalam lubuk sanubari ini. 

Di blog ini aku akan menulis mengenai apa sahaja yang terbuku di hati dan berkongsi maklumat bersama korang yang semestinya telah menjadikan budaya membaca blog sebagai salah satu hobi korang. Ya, korang tak perlu bimbang kerana aku akan berusaha untuk menyediakan 'content' yang berkualiti dan menyeronokkan. Yehaaaaa!!!!

Tetapi sebelum tu, suka untuk aku ingatkan bahawa setiap benda yang kita buat, ada etikanya. Bukan sekadar syok sendiri, tapi harus diselangi dengan kesedaran dan keinsafan bahawa setiap satu yang kita tuturkan, zahirkan, atau lahirkan serta yang terlintas di hati dan nawaitu kita sebenarnya akan dihisab di Hari Akhirat kelak. Ingat tu..! 

Apa yang penting sekarang... jiwa aku sedang bergelora untuk kembali ber'blog'!!! Jeng jeng jeng....